Dunia pertukangan cincin tradisional nampaknya semakin pudar. Kenapa tidaknya, di kala harga barangan keperluan harian berlipat naik, harga upah tukang seolah-olah ditakuk lama. Sedangkan mereka juga adalah pengguna yang perlu mengeluarkan belanja untuk keperluan harian mereka.
Jatuh bangun dunia cincin tradisional melayu bukan terletak kepada
mereka sahaja, tetapi juga bergantung kepada pengguna atau pembeli,
samada faham nilai seni dan upah, yang selari dengan kenaikan harga
barang asas cincin, atau kejatuhan nilai matawang dalam kos dan upah.
Jika pemakai tidak sanggup membayar nilai seni ini dengan nilai yang
setimpal, seolah-olah mereka menafikan keupayaan dan kerja tukang-tukang yang terlibat. Akhirnya mereka (tukang) merasakan hasil tangan mereka tidak lagi dihargai. Akhir-akhir ini ramai tukang cincin telah bertukar kerjaya. Nampaknya
apa yang dikhuatiri dan membimbangkan selama ini memang sedang terjadi
kini. Siapalah ambo untuk menahan semua ini.
Penjual atau orang tengah pula sukar untuk menjual cincin buatan tangan degan harga kos dan upah yang semakin meningkat. Tambahan pula cincin "casting" atau buatan kilang merupakan saingan utama kepada cincin tradisional ini. Terserahlah kepada pengguna, samada mahu alah membeli menang memakai atau membiarkan sahaja keindahan cincin tradisional oleh tukang mahir semakin hilang di pasaran. Hanya jauhari mengenal manikam.